Links

;

Saturday, August 8, 2009

KAJIAN TINDAKAN 2009

MENINGKATKAN KEFAHAMAN PELAJAR DALAM KONSEP INTEGER MELALUI PERWAKILAN IDEA MATEMATIK SECARA KONKRIT DALAM KALANGAN PELAJAR TINGKATAN 2 SEMARAK.



OLEH

SITI HALIMAH BINTI AWANG KECHIL
SMK PANGLIMA BUKIT GANTANG
34200 PARIT BUNTAR PERAK




ABSTRAK


Penguasaan pelajar dalam menjawab soalan yang berkaitan dengan integer masih lemah. Pemahaman pelajar dalam kemahiran menjawab soalan terutama dalam operasi tambah dan tolak masih lemah. Justeru, kajian ini dijalankan untuk mengatasi masalah penguasaan kefahaman pelajar dalam konsep integer. Pelajar-pelajar yang terlibat dalam kajian ini terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan 2 Semarak di SMK. Panglima Bukit Gantang, 34200 Parit Buntar, Perak. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui soalan spontan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, semakan kerja rumah, ujian pra dan ujian bulanan berhubung dengan kemahiran itu. Soal selidik pelajar-pelajar juga digunakan sebagai instrumen untuk meninjau pandangan pelajar-pelajar terhadap pengajaran guru dan juga tingkah laku pelajar sewaktu pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Melalui kaedah perwakilan idea matematik secara konkrit yang berhubung kait dengan kehidupan sebenar pelajar dapat membantu pelajar meningkatkan pencapaian dan mengubah persepsi mereka terhadap konsep integer ini. Seterusnya, dengan model konkrit yang sesuai iaitu melalui jadual yang dibina ini dapat membantu pelajar yang lemah mendapatkan jawapan yang tepat. Saya berpendapat bahawa kaedah yang saya gunakan selama dua minggu ini memuaskan dan berjaya mengubah sikap pelajar kepada lebih seronok, minat dan suka belajar matematik. Dapatan kajian ini diharap dapat menyorot sedikit pengalaman, mengintai pengalaman dan berkongsi keilmuan tentang keinginan meningkatkan penguasaan kefahaman pelajar dalam konsep berkenaan. Dengan menggunakan kaedah perwakilan idea matematik secara konkrit ini, didapati pelajar-pelajar dapat menjawab soalan dengan lebih mudah dan betul.

1.0 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu

Berdasarkan pengalaman saya mengajar tajuk ini dan tajuk-tajuk yang berhubung kait dengan konsep integer, didapati bahawa pelajar tidak dapat menjawab soalan dengan tepat. Sewaktu menyemak buku latihan pelajar, saya dapati segelintir pelajar tidak dapat menguasai kemahiran menjawab soalan yang melibatkan operasi tambah, tolak, darab dan bahagi. Ini adalah kerana pelajar lemah dalam memahami konsep tersebut. Pelajar seakan tidak peka dengan simbol positif atau negatif pada sesuatu nombor. Ada segelintir pelajar yang mempunyai sikap malas untuk mengira. Ini menyebabkan pelajar kehilangan markah. Kebanyakan pelajar lebih berminat pada angka dan mengabaikan simbol tersebut. Ini dapat dilihat melalui keputusan ujian pra di mana saya berasa kecewa dengan pencapaian pelajar-pelajar ini.

Pelbagai kaedah saya gunakan seperti “hutang”, “suhu di bawah takat beku”, “untung rugi” dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan garis nombor juga telah saya aplikasikan di dalam kelas. Kaedah ini merupakan cara yang bermatematik dan mendapat sambutan dalam kalangan pelajar, tetapi ianya juga merupakan satu perwakilan dan penggunaannya agak terbatas kerana cara ini tidak dapat digunakan untuk menerangkan konsep pendaraban dan pembahagian integer.

Saya telah berusaha mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kelas namun pelajar masih keliru dan membuatkan mereka kurang minat untuk belajar matematik. Tambahan pula ada segelintir pelajar yang kurang memberi tumpuan semasa saya mengajar. Saya sepatutnya memberi fokus kepada keseluruhan kelas dan memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar yang bermasalah ini dengan pendekatan yang lain.


2.0 Isu Keperihatinan/Fokus Kajian
Walaupun saya mengesan banyak masalah yang dihadapi oleh pelajar saya, saya hanya akan fokuskan kajian ini terhadap konsep integer. Justeru, kajian ini meninjau permasalahan pelajar dalam menjawab soalan yang melibatkan simbol positif dan negatif pada sesuatu nombor. Permasalahan ini dipilih berdasarkan pemerhatian saya di dalam kelas berkenaan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pelajar-pelajar ini sukar untuk memahami konsep integer dan mereka melakukan banyak kesalahan semasa menjawab soalan berkaitan integer. Antaranya ialah:
i) Pelajar tidak peka dan keliru dengan kedudukan nombor positif dan negatif. Ini adalah kerana pelajar belum bersedia mengolahkan konsep matematik pada aras simbolik itu tidak boleh mengikut pengajaran konsep tersebut. Apabila perkara sedemikian berterusan, proses pengajaran akan menghasilkan pelajar yang memahami konsep secara kabur dan kurang yakin menggunakan konsep itu pada situasi baru.
ii) Pelajar tidak berusaha untuk memberi jawapan langsung semasa menjawab soalan.
iii) Pelajar mempunyai sikap malas untuk mengira.
Jika masalah ini tidak dapat diatasi, kemungkinan pelajar tidak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan kerana konsep ini digunakan dalam tajuk ini dan terus digunakan dan diaplikasikan pada tajuk-tajuk yang menggunakan konsep integer ini.

Sebagai persediaan untuk membawa pelajar memahami dan seterusnya menguasai konsep ini pada aras simbolik, pelajar perlu banyak pengalaman pada peringkat konkrit terlebih dahulu. Melalui penggunaan model konkrit yang sesuai, pelajar dapat memahami konsep yang hendak disampaikan dengan lebih mudah dan dapat mengabstrakkan konsep tersebut. Model konkrit membolehkan pelajar memahami konsep matematik semasa mengendalikan objek sambil mengkonkritkan idea pelajar. Dengan pemahaman konsep secara konkrit dan kemudiannya secara gambarajah barulah pelajar dapat memahami dan mengolahkan konsep itu pada aras formal atau simbolik.
Dengan membantu pelajar-pelajar menguasai konsep tersebut dengan kaedah perwakilan idea secara konkrit ini , saya yakin pelajar-pelajar ini dapat menjawab soalan dengan betul. Hal ini seterusnya diharapkan dapat membantu pelajar menguasai konsep integer ini dan dapat membantu pelajar mencapai keputusan yang cemerlang.


3.0 Objektif Kajian
3.1 Objektif Umum
Secara amnya, objektif kajian tindakan ini adalah untuk meningkatkan kefahaman pelajar dalam konsep integer.

3.2 Objektif Khusus
Secara khususnya, melalui kajian ini murid dapat:
i) Meningkatkan bilangan pelajar yang dapat menjawab soalan berkaitan konsep integer dengan tepat.
ii) Meningkatkan keupayaan pelajar mengaplikasikan kaedah baru dalam menyelesaikan soalan berkaitan integer.
iii) Menguasai kemahiran menjawab soalan yang melibatkan operasi tambah, tolak, darab dan bahagi dengan tepat dengan menggunakan kaedah baru.
iv) Membantu pelajar menguasai topik integer dan membantu pelajar mengaplikasikan konsep integer ini pada tajuk-tajuk yang mempunyai hubung kait dengan integer.

4.0 Methodologi Kajian
Methodologi yang digunakan ialah:
4.1 Pemerhatian.
Sikap pelajar dilihat secara tidak formal sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
4.2 Soal selidik.
Borang soal selidik diedarkan kepada pelajar dan pelajar diminta menjawab dengan jujur.

4.3 Ujian Pra
Ujian Pra dijalankan sebelum aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk menguji tahap pengetahuan sedia ada pelajar.

4.4 Pengajaran dan Pembelajaran
Pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan guru memberi pendekatan atau kaedah baru untuk menguji tahap penguasaan dan kefahaman pelajar menjawab soalan berkaitan konsep integer.

4.5 Ujian Pos
Ujian Pos dijalankan bagi melihat keberkesanan kaedah yang dijalankan setelah guru memperkenalkan kaedah mudah bagi menguasai konsep integer.


5.0 Kumpulan Sasaran
Sasaran saya terdiri daripada 20 orang pelajar lelaki dan 12 orang pelajar perempuan dari kelas 2 Semarak. Pelajar-pelajar ini dalam kalangan pelajar-pelajar sederhana dan lemah.

6.0 Pelaksanaan Tindakan

6.1 Tinjauan Masalah
Saya telah menggunakan beberapa kaedah untuk mengumpul maklumat. Dalam pelaksanaan kajian ini, tinjauan masalah dibuat berdasarkan pemerhatian , ujian pra dan soal selidik.

6.1.1 Pemerhatian
Saya telah membuat pemerhatian ke atas tingkah laku pelajar-pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Separuh daripada kelas mempunyai sikap suka berbual dan kurang memberi tumpuan semasa guru mengajar. Sebelum kajian dijalankan pelajar-pelajar kurang memberi respon kepada soalan-soalan yang diajukan dan ada yang memberi jawapan sambil lewa dan rasa takut untuk mencuba.
Pelajar juga memerlukan pendekatan yang lebih konkrit dan nyata bagi melihat atau mengaitkan kegunaan ilmu tersebut dalam situasi sebenar.

6.1.2 Ujian Pra
Ujian pra diberikan kepada kumpulan sasaran untuk mengesan sejauh mana kefahaman dan tahap penguasaan mereka mengenai konsep integer. Ujian pra ini mengandungi 12 soalan perlu dijawab dalam 30 minit.

6.1.3 Soal Selidik.
Saya juga telah mengedarkan boring soal selidik untuk mengetahui punca kelemahaman pelajar-pelajar ini tidak menguasai konsep integer. Borang soal selidik diberikan kepada pelajar sasaran dengan membuat pilihan mengapa mereka tidak dapat menjawab soalan pra dengan betul.

Daripada soal selidik yang dijalankan, saya mendapati 65.63% pelajar meminati mata pelajaran matematik, 6.24% tidak pasti, 28.13% tidak meminati mata pelajaran matematik. Soal selidik juga mendapati faktor yang mempengaruhi seseorang pelajar berminat untuk belajar dipengaruhi oleh diri sendiri, keluarga, rakan-rakan, guru dan faktor sekeliling.

6.2 Analisis Tinjauan Masalah

6.2.1 Analisis Pemerhatian
Berdasarkan pemerhatian guru, pelajar-pelajar yang lemah ini tidak berminat untuk belajar, tidak kira sama ada subjek Matematik dan sebagainya. Malah ada pelajar yang malas masuk ke dalam kelas dan tidak mempunyai motivasi untuk belajar. Sikap mereka ini yang menyebabkan mereka tidak dapat menguasai konsep integer itu.

6.2.2 Analisis Ujian Pra
Hasil dapatan daripada ujian pra, kekerapan menjawab dengan betul soalan-soalan yang diberikan dapat dikelaskan seperti berikut:

Jadual 1: Keputusan Pencapaian Ujian Pra
UJIAN PRA
SKALA KEKERAPAN BIL %
Betul semua 1 3.1
Betul 10 – 11 3 9.5
Betul 8 – 9 5 15.6
Betul 6 – 7 8 25.0
Betul 4 – 5 9 28.1
Betul 2 – 3 5 15.6
Betul 1 1 3.1
Salah semua 0 0
Jumlah 32 100

Jadual 1 menunjukkan 15 orang pelajar masih tidak menguasai kemahiran dengan mendapat skor betul 1 -5 dalam ujian pra yang dijalankan.

6.2.3 Analisis Soal Selidik

Borang soal selidik diberikan kepada pelajar sasaran dengan membuat pilihan mengapa mereka tidak dapat menjawab soalan ujian pra dengan betul.

6.3 Tindakan yang dijalankan
6.3.1 Latih tubi berterusan dengan penyoalan secara spontan sewaktu pengajaran dan pembelajaran bermula.

6.3.2 Kaedah perwakilan idea matematik secara konkrit dan kemudiannya dipindahkan kepada jadual.

6.4 Pelaksanaan Tindakan dan Pemerhatian/Penilaian.

6.4.1 Pelaksanaan Aktiviti 1 – Latih tubi berterusan.
Dalam aktiviti ini pelajar diberi soalan secara spontan dan dikehendaki menjawab secara spontan. Soalan yang diajukan adalah mudah. Didapati pelajar ini mempunyai keyakinan menjawab soalan.

6.4.2 Pelaksanaan Aktiviti 2 – Kaedah Perwakilan idea matematik secara konkrit.

Pelaksanaan Kaedah Perwakilan Idea Secara Konkrit.
Dalam aktiviti ini, pelajar-pelajar diberi penerangan konsep integer melalui
petua sebagai komponen dalam model konkrit untuk integer.

Petua 1 di mana arahan yang berganda ditukar kepada arahan tunggal.

+ + +
_ _ +
+ - -
- + -

Petua 2 di mana apabila operasi melibatkan tanda yang serupa, tambahkan nombor dan kekalkan tanda yang serupa itu.

Petua 3 di mana apabila operasi melibatkan tanda yang berlawanan, tolakkan nombor dan kekalkan tanda bagi angka yang lebih besar.
Semua ini kemudiannya diwakilkan melalui jadual agar pelajar lebih memahami dan seterusnya menguasi konsep tersebut.

Soalan berkenaan integer tersebut perlu dijawab oleh pelajar dalam tiga peringkat. Peringkat pertama di mana guru hanya meminta murid mengenal pasti dan menyebut petua yang terlibat dalam penyelesaian setiap soalan. Pada peringkat kedua, pelajar diminta memberi tanda sahaja bagi jawapan. Kemudian pada peringkat ketiga barulah pelajar perlu memberi jawapan untuk setiap soalan dengan menggunakan petua yang berkenaan. Melalui penyoalan tiga peringkat itu, guru telah membantu pelajar memahami konsep integer dn mengolahkan konsep integer serta memindahkan kefahaman konsep itu dari ingatan jangka pendek kepada ingatan jangka panjang.


Contoh 1:

+

11 23




Contoh 2 :

+

9
6
0 15










Contoh 3 :

+

3 12
7
3 19




Contoh 4:


+

6 89
25
6 114



Pemerhatian
Pelajar-pelajar ini berasa gembira apabila ditunjukkan kaedah ini.

Refleksi
Aktiviti ini berkesan di mana pelajar boleh menguasai konsep ini secara perlahan dan berperingkat. Ini dapat dilihat apabila pelajar mula ingin mencuba dan yakin dengan jawapan mereka.

6.5 Refleksi Kajian
Saya berasa puas hati kerana terdapat perubahan dalam kalangan pelajar sasaran, bukan sahaja perubahan dari segi pencapaian dan penguasaan konsep ini malah dari segi tingkah laku pelajar berkenaan. Tindakan yang dilaksanakan sungguh berkesan dalam mengatasi masalah kajian. Hasil kajian menunjukkan perubahan kepada pelajar tinggi nilainya.

Perbandingan pencapaian pelajar dalam Ujian Pra dan Ujian Pos adalah seperti berikut:

Jadual 2: Perbandingan Ujian Pra dan Ujian Pos
UJIAN PRA UJIAN POS
SKALA BIL % SKALA BIL %
Betul semua 1 3.1 Betul semua 7 21.9
Betul 10 – 11 3 9.5 Betul 10 – 11 10 31.2
Betul 8 – 9 5 15.6 Betul 8 – 9 8 25.0
Betul 6 – 7 8 25.0 Betul 6 – 7 7 21.9
Betul 4 – 5 9 28.1 Betul 4 – 5 0 0
Betul 2– 3 5 15.6 Betul 2– 3 0 0
Betul 1 1 3.1 Betul 1 0 0
Salah semua 0 0 Salah semua 0 0
Jumlah 32 100 Jumlah 32 100

Berdasarkan jadual di atas, saya dapati murid sasaran pada awalnya tidak dapat menguasai konsep tersebut akhirnya telah menguasainya. Ini dapat dilihat dalam Ujian Pos, 7 orang telah menjawab dengan betul kesemua soalan. Cuma terdapat 7 orang pelajar atau 21.9% masih pada tahap minima. Walau bagaimanapun, keseluruhan pencapaian pelajar meningkat.

Daripada kajian yang dijalankan dapat dirumuskan bahawa ianya telah menunjukkan keberkesanan. Kaedah ini membantu pelajar yang bermasalah dalam menguasai konsep ini.

7.0 Cadangan Kajian Seterusnya
Saya bercadang untuk meneruskan kaedah ini terutama apabila mengajar pelajar yang berlatarbelakangkan sederhana dan lemah. Saya amat berharap pelajar-pelajar lemah ini dapat meningkatkan penguasaan mereka dalam mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Beberapa cadangan untuk kajian seterusnya adalah seperti berikut:
a) mengguna pakai kaedah perwakilan idea ini pada pelajar yang berbeza pada tahun hadapan.
b) Mengguna pakai kaedah ini pada pelajar yang sama pada topik-topik yang berhubung kait dengan konsep integer ini.

Hasil dari kajian yang dijalankan, saya dapati terdapat perubahan yang positif dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran guru dan amalan pembelajaran murid. Semoga hasil kajian ini dapat dimanfaatkan dan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, berkesan dan menyeronokkan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment